Suspek samun cuba tenggelamkan polis di laut, dua anggota cedera
TAWAU: Seorang suspek samun bersenjata bertindak agresif dengan cuba menenggelamkan anggota polis di laut sehingga memaksa tembakan amaran dilepaskan ketika operasi tangkapan di Kampung Titingan, di sini, pada Jumaat lalu.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu turut menyebabkan dua anggota polis mengalami kecederaan selepas suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an bertindak menyerang menggunakan sebatang besi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan kejadian samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita warga asing berusia 18 tahun pada jam 3.50 pagi hari sama.
Menurutnya, tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut dengan melarikan dua telefon bimbit serta wang tunai RM434 milik mangsa.
“Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM3,500.
“Ketika operasi tangkapan dijalankan, seorang suspek cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut untuk melarikan diri.
“Suspek kemudian memukul dan cuba menenggelamkan seorang anggota polis yang mengejarnya sehingga tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum dia berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Rosdi berkata, operasi itu membabitkan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan.
Menurutnya, suspek yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, manakala sebatang besi turut dirampas.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rosdi menjelaskan video tular yang memaparkan anggota polis melepaskan tembakan di Kampung Titingan sebenarnya merakam operasi tangkapan pada 9 Oktober lalu.
Katanya, video berkenaan tidak membabitkan kejadian berbalas tembakan atau insiden baharu seperti yang mungkin disalah anggap orang ramai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 354 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi suspek masih dikesan,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Inspektor Norhafizah Hussin di talian 012-527 9004 bagi membantu siasatan.
Rosdi menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat spekulasi berhubung video tular tersebut bagi mengelakkan kekeliruan.

