Pemandu mabuk gagal bayar pampasan berdepan sita aset, penjara tambahan
KUALA LUMPUR: Pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kemalangan jalan raya dan gagal membayar pampasan kepada mangsa atau waris mungkin berdepan tindakan sitaan aset serta hukuman penjara tambahan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan sedang merangka mekanisme berkenaan bagi memastikan keluarga mangsa mendapat pembelaan sewajarnya, khususnya apabila pesalah mendakwa tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar pampasan.
Menurutnya, langkah itu sedang diteliti sebagai sebahagian daripada cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Mengikut peruntukan sedia ada dalam akta lain, kalau pesalah tidak mampu bayar pampasan, mungkin ada hukuman denda atau penjara yang lebih berat sebagai tambahan.
“Kita juga sedang melihat sama ada sitaan terhadap aset pesalah boleh dibuat, supaya pampasan itu benar-benar disalurkan kepada waris,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai jaminan pembelaan kepada waris mangsa kemalangan maut sekiranya pesalah tidak berkemampuan membayar pampasan.
Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Ahmad berhubung pindaan Akta 333 bagi membolehkan pampasan diberikan kepada keluarga mangsa pemandu mabuk, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan bercadang membentangkan pindaan berkenaan di Parlimen pada awal 2027.
Katanya, pindaan itu bertujuan menyediakan asas perundangan yang lebih jelas bagi memastikan mangsa atau waris mendapat pampasan sewajarnya.
Sistem mata demerit turut dikaji semula
Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata, kerajaan turut merancang merombak pelaksanaan sistem mata demerit kesalahan jalan raya yang disifatkan kurang berkesan ketika ini.
Menurutnya, kelemahan sistem sedia ada berpunca daripada pelaksanaan pemotongan mata demerit yang hanya dilakukan selepas pesalah menjelaskan saman.
Keadaan itu, katanya, mengurangkan keberkesanan sistem berkenaan sebagai langkah pencegahan terhadap kesalahan lalu lintas.
Bagaimanapun, mekanisme sitaan aset dan hukuman tambahan itu masih pada peringkat penelitian serta belum dikuatkuasakan.

