Shafie: Baca dulu laporan audit sebelum salahkan Warisan

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta pihak yang mengaitkan pentadbirannya dengan kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah supaya membaca dan memahami Laporan Ketua Audit Negara terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu menegaskan, laporan berkenaan mengandungi maklumat lengkap mengenai perjalanan projek tersebut, termasuk prestasi pelaksanaannya sebelum Warisan mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018.

Menurutnya, laporan audit itu merupakan dokumen rasmi yang wajar dijadikan rujukan bagi menilai perjalanan projek berkenaan secara menyeluruh.

“Tolong baca Laporan Ketua Audit Negara yang cukup lengkap. Ini bukan laporan parti, bukan laporan Ahli Parlimen Semporna.

“Sebelum Parti Warisan Sabah memerintah pun, lihat prestasi pada 2015 dan 2016, bagaimana perjalanan projek itu sehingga 2018,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggilnya memberi keterangan berhubung pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah.

Warisan tidak pernah tamatkan kontraktor

Mengulas lanjut, Shafie menafikan dakwaan bahawa pentadbiran Warisan pernah menamatkan kontrak syarikat pembinaan yang melaksanakan projek berkenaan ketika menerajui kerajaan negeri.

“Warisan tidak pernah tamatkan kontraktor di Sabah ketika memerintah dahulu.

“Kontraktor masih kekal sampai sekarang,” katanya.

Menurutnya, perubahan model Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner atau PDP) tidak seharusnya disamakan dengan penamatan kontrak syarikat pembinaan yang melaksanakan projek tersebut.

Shafie turut mempersoalkan pengurusan projek Pan Borneo Sabah pada peringkat awal, khususnya dakwaan pembabitan seorang bekas pemimpin Pemuda UMNO Sabah dalam pengurusan PDP.

“Cuma saya persoalkan, pada peringkat awal dahulu, mengapa PDP diurus tadbir bekas eksekutif Pemuda UMNO Sabah, yang mana dana awam melibatkan RM17 bilion?

“Baca laporan audit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan identiti individu yang dimaksudkan dalam kenyataan tersebut.

Shafie turut membangkitkan pelaksanaan projek Pan Borneo di Sarawak sebagai perbandingan, sambil menegaskan bahawa perubahan model pengurusan projek perlu dinilai berdasarkan keseluruhan rekod pelaksanaannya.

Beliau berkata, pihak yang mempertikaikan keputusan pentadbiran terdahulu seharusnya meneliti penemuan audit secara menyeluruh, termasuk perkembangan projek sebelum dan selepas Warisan mengambil alih kerajaan negeri.

Tegasnya, penilaian terhadap kelewatan projek Pan Borneo Sabah perlu berasaskan fakta dan rekod rasmi, bukannya tuduhan politik semata-mata.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan