Salah pilih pemimpin boleh jejaskan kekuatan Warisan – Jaujan
SANDAKAN: Pemilihan kepimpinan Parti Warisan (Warisan) bagi penggal 2026–2029 perlu dijadikan medan memilih pemimpin berwibawa dan berkualiti bagi memastikan parti itu terus kukuh menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Naib Presidennya, Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, kesilapan memilih pemimpin bukan sahaja boleh menjejaskan kekuatan organisasi, malah memberi kesan terhadap keyakinan rakyat kepada parti berkenaan.
Menurutnya, proses pemilihan tidak seharusnya dilihat sekadar pertandingan merebut jawatan, sebaliknya peluang kepada ahli untuk menilai kemampuan calon yang bakal menerajui kepimpinan parti.
“Untuk menguatkan parti, kita mesti mempunyai ahli yang ramai, tetapi kita juga mahukan ahli yang berkualiti dan kompeten.
“Pemimpin bukan sekadar perlu bijak, hebat atau berpendidikan, tetapi mesti mempunyai daya tarikan dari segi perwatakan dan keperibadian yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Agung Tahunan dan Pemilihan Wanita, Wira dan Wirawati Warisan 2026 di Dewan Yu Yuan, di sini, pada Sabtu.
Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan berkata, kekuatan sesebuah parti politik bukan hanya bergantung kepada jumlah keahlian, sebaliknya turut ditentukan oleh kualiti pemimpin serta penerimaan rakyat.
Katanya, setiap ahli mempunyai tanggungjawab memastikan calon yang dipilih benar-benar mampu memimpin dan memperkukuh organisasi, khususnya dalam menghadapi cabaran politik akan datang.
“Rakyat bukan hanya menilai calon berdasarkan kebijaksanaan atau kekuatan parti, tetapi turut melihat kepimpinan dan bagaimana ahli parti memainkan peranan masing-masing.
“Sebab itu, pemilihan ini peluang untuk kita menilai semua peringkat, daripada individu, ahli ketiga-tiga sayap hinggalah kepimpinan tertinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Jaujan mengingatkan ahli supaya tidak membiarkan persaingan dalam pemilihan mencetuskan perpecahan yang akhirnya boleh melemahkan parti.
Beliau berkata, perbezaan pilihan dan sokongan terhadap calon merupakan sebahagian daripada proses demokrasi, namun perpaduan dalam kalangan ahli perlu terus dipelihara.
“Pemilihan itu satu perkara, tetapi matlamatnya adalah untuk menguatkan dan memantapkan parti.
“Perpaduan adalah kekuatan sesebuah organisasi. Kita perlu memastikan perbezaan pilihan dalam pemilihan tidak menyebabkan perpecahan, sebaliknya menjadikan parti lebih kuat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pemilihan kali ini dapat melahirkan barisan kepimpinan yang bukan sahaja berwibawa, malah mampu menyatukan ahli serta memperkukuh persediaan Warisan menghadapi PRU16.
— SABAH NEWS TODAY

