Lelaki Filipina maut jatuh laut di jeti Kudat
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Filipina berusia lingkungan 20-an ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh ke laut dari sebuah kapal yang berlabuh di Jeti Ko-Nelayan, Kudat, malam tadi.
Mayat mangsa ditemukan pada jam 10.20 pagi hari ini oleh nelayan yang melakukan selaman di sekitar lokasi kejadian selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 10.30 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurut kenyataan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Kudat pada jam 10.37 malam tadi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati benar seorang lelaki terjatuh ke laut dari sebuah kapal yang sedang berlabuh.
“Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian turut cuba mencarinya dengan menyelam di sekitar jeti, namun gagal menemukannya,” menurut kenyataan itu.
Pasukan bomba bersama polis kemudian menjalankan pencarian di permukaan air sebelum operasi ditangguhkan pada jam 11.10 malam berikutan keadaan gelap.
Operasi disambung semula pada jam 9.20 pagi hari ini menggunakan bot penyelamat bomba sebelum mangsa ditemukan kira-kira sejam kemudian.
Seramai 14 anggota bomba daripada BBP Kudat dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat terbabit dalam operasi itu dengan bantuan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Operasi ditamatkan pada jam 11 pagi selepas pasukan penyelamat memastikan keadaan di lokasi selamat.
— SABAH NEWS TODAY

