‘Apa guna asing jawatan jika Pendakwa Raya masih dikawal politik?’ — Shafie
KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal mempersoalkan keberkesanan cadangan pengasingan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sekiranya pembaharuan itu gagal menghapuskan ruang campur tangan politik dalam institusi pendakwaan negara.
Menurutnya, walaupun langkah kerajaan mengasingkan kedua-dua jawatan wajar dialu-alukan, perubahan struktur pentadbiran tidak semestinya menjamin kebebasan institusi berkenaan.
“Apa gunanya kedua-dua jawatan ini diasingkan sekiranya pengaruh dan campur tangan politik masih boleh berlaku?
“Kita tidak seharusnya sekadar mengubah struktur pentadbiran sedangkan masalah yang sama terus berlarutan,” katanya dalam kenyataan media.
Shafie berkata, persoalan mengenai kebebasan sistem pendakwaan sudah lama dibangkitkan, khususnya dalam kes membabitkan ahli politik, individu berpengaruh atau mereka yang mempunyai hubungan dengan kerajaan.
Katanya, keputusan untuk mendakwa atau menggugurkan pertuduhan mesti dibuat berdasarkan bukti dan undang-undang, bukannya kepentingan politik pihak tertentu.
Beliau menegaskan, institusi Pendakwa Raya perlu benar-benar bebas daripada kuasa eksekutif, tetapi kebebasan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada pengawasan dan kebertanggungjawaban.
Parlimen perlu diberi kuasa pengawasan
Shafie menggesa supaya sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang merangkumi wakil kerajaan dan pembangkang diberikan kuasa meneliti dasar, pentadbiran, perbelanjaan dan prestasi keseluruhan institusi Pendakwa Raya.
Beliau turut menyokong cadangan melibatkan Parlimen dalam proses pelantikan serta mewajibkan laporan tahunan institusi berkenaan dibentangkan kepada badan perundangan itu.
Namun, katanya, pengawasan Parlimen mesti mempunyai batas yang jelas supaya ahli politik tidak diberikan ruang menentukan keputusan pendakwaan dalam kes individu.
“Tiada ahli politik, sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang, boleh menentukan siapa yang patut didakwa atau pertuduhan terhadap siapa yang perlu digugurkan,” katanya.
Menurut Shafie, proses pelantikan Pendakwa Raya juga mesti telus, dengan jaminan tempoh perkhidmatan dan perlindungan daripada tekanan politik serta pemecatan secara sewenang-wenangnya.
Beliau mahu perlindungan itu dimaktubkan secara jelas dalam Perlembagaan dan undang-undang, bukan sekadar bergantung kepada budi bicara atau niat baik kerajaan yang memerintah.
‘Tidak boleh ada dua darjat’
Shafie berkata, ukuran sebenar kebebasan institusi pendakwaan ialah sama ada tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang mempunyai kuasa politik.
Menurutnya, pemimpin kerajaan yang melanggar undang-undang mesti tertakluk kepada tindakan sama seperti pemimpin pembangkang dan rakyat biasa.
“Tidak boleh ada dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembaharuan institusi pendakwaan perlu dirangka supaya mampu bertahan walaupun berlaku pertukaran kerajaan.
“Kita tidak mahu Pendakwa Raya yang hanya bebas pada nama tetapi hakikatnya masih dikawal oleh mereka yang berkuasa.
“Kita mahukan sebuah institusi yang menjunjung undang-undang, bukannya berkhidmat untuk kepentingan kerajaan yang memerintah,” katanya.
Shafie menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen memastikan pembaharuan yang dicadangkan benar-benar menjamin kebebasan Pendakwa Raya, perlindungan undang-undang yang kukuh dan mekanisme kebertanggungjawaban yang berkesan.
“Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang,” katanya.
— SABAH NEWS TODAY

