Mustapha nafi projek jalan luar bandar Sabah, Sarawak dibatalkan

KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, menafikan dakwaan bahawa kerajaan persekutuan membatalkan atau memotong peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu mulai 10 Sept lalu adalah langkah kawalan kewangan, bukannya pembatalan projek yang sudah diluluskan.

“Penangguhan pengeluaran SST baharu tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang telah diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha berkata, peruntukan JALB di peringkat nasional meningkat daripada RM2.11 bilion pada 2026 kepada RM2.27 bilion bagi 2027.

Menurutnya, Kementerian Kewangan turut meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta tahun ini bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor JALB.

Beliau menjelaskan, penangguhan SST dibuat susulan komitmen kontrak dan perbelanjaan yang melebihi peruntukan tahunan, sehingga menyebabkan kelewatan pembayaran kepada kontraktor.

Katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga diminta menyediakan unjuran pembiayaan sehingga 2027 berdasarkan kontrak yang sudah dianugerahkan.

Mustapha turut menggesa pihak yang mendakwa projek di Sabah dan Sarawak dibatalkan supaya mengemukakan senarai projek, nilai peruntukan serta status pembatalan sebagai bukti.

Beliau berkata, Belanjawan 2027 memperuntukkan RM18.7 bilion kepada Sabah berbanding RM17.6 bilion pada 2026, manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion.

Sebanyak RM3.3 bilion turut disediakan bagi projek jalan raya di kedua-dua negeri.

“Pembangunan Sabah dan Sarawak kekal sebagai pelaburan jangka panjang yang menjadi keutamaan Kerajaan MADANI,” katanya.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan