Hak 40% Sabah: SLS pertahan keputusan Mahkamah Tinggi, rayuan Putrajaya ditangguh
KOTA KINABALU: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) kekal mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak pemberian khas 40% Sabah selepas Mahkamah Rayuan selesai mendengar hujahan berhubung rayuan Kerajaan Persekutuan hari ini.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, mahkamah menangguhkan keputusan tanpa menetapkan tarikh penghakiman.
Menurutnya, pengurusan kes akan diadakan secara e-Review pada 12 Nov bagi menetapkan tarikh keputusan rayuan itu.
Rayuan Kerajaan Persekutuan membabitkan sebahagian dapatan dan perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Okt 2025, khususnya berhubung tempoh 1974 hingga 2021 yang dikenali sebagai Lost Years.
Nazim menjelaskan, Kerajaan Persekutuan dalam Notis Rayuannya menyatakan tidak mempertikaikan formula 40% yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan atau kewajipan mengadakan semakan di bawah Perkara 112D.
Bagaimanapun, katanya, rayuan itu mencabar dapatan dan perintah penting berkaitan tempoh Lost Years, proses semakan, remedi susulan serta bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
“Pendirian SLS jelas bahawa peruntukan Perlembagaan yang mengawal hak Sabah membawa tanggungjawab yang mesti ditunaikan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, isu Lost Years perlu diselesaikan melalui proses yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan, termasuk remedi berkesan terhadap pelanggaran yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Menurutnya, SLS memulakan prosiding itu demi kepentingan awam dan akan terus mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi di peringkat rayuan.
Nazim berkata, SLS menghormati proses kehakiman, namun tetap berpendirian bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dilaksanakan secara berkesan.
SLS diwakili David Fung Yin Kee, Jeyan T.M. Marimuttu, Janice Junie Lim, Grace Liew Yung Enn dan Vanessa Maria Marimuttu dalam prosiding berkenaan.
— SABAH NEWS TODAY

