Victor Sanjos bakal terajui Polis Sabah, ganti Jauteh
KOTA KINABALU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos dijangka mengambil alih jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang bakal bersara wajib.
Difahamkan, Victor menjadi pilihan pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan prestasi dan kekananannya dalam pasukan.
Majlis serah terima tugas dijangka berlangsung pada 10 November ini, sehari sebelum Jauteh menamatkan perkhidmatannya secara rasmi.
Jauteh bakal bersara wajib pada 11 November selepas lebih 32 tahun berkhidmat dalam PDRM.
Sepanjang tempoh itu, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting sebelum dilantik menerajui Kontinjen Sabah.
Bagaimanapun, pelantikan Victor masih menunggu pengumuman rasmi PDRM.
— SABAH NEWS TODAY

