Rekod ekonomi, pembangunan bukti GRS tidak gagal
KOTA MARUDU: Pencapaian ekonomi dan pelaksanaan program pembangunan di Sabah membuktikan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tidak gagal seperti didakwa pengkritik, kata seorang pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah.
Ketua Penyelaras Gagasan Rakyat Tandek, Datuk Dr Janathan Kandok berkata, prestasi kerajaan negeri perlu dinilai berdasarkan data sahih, kedudukan kewangan dan manfaat pembangunan kepada rakyat.
“Matematik pembangunan tidak pernah bohong. Penilaian terhadap kerajaan mesti berdasarkan fakta dan impak sosioekonomi, bukan retorik politik menjelang pilihan raya,” katanya.
Janathan yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) berkata, pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memperkukuh penyertaan negeri dalam sektor strategik, khususnya industri minyak dan gas.
Beliau berkata, SMJ Energy Sdn Bhd memperoleh kepentingan dalam beberapa projek termasuk Lapangan Semarang, SAMUR dan PFLNG 3, selain kerjasama komersial dengan PETRONAS.
Menurutnya, peningkatan kutipan hasil tahunan dan rizab tunai negeri turut menunjukkan kedudukan fiskal Sabah semakin kukuh, sekali gus menolak dakwaan mengenai kegagalan pengurusan kewangan kerajaan.
Katanya, peningkatan hasil itu membolehkan pelaksanaan program seperti Rumah Mesra SMJ, bantuan tunai SYUKUR, penajaan pembangunan modal insan dan penambahbaikan kemudahan asas.
Janathan berkata, manfaat pembangunan berkenaan turut dirasai masyarakat di Kota Marudu dan kawasan luar bandar.
Beliau menggesa semua pihak menilai pentadbiran GRS berdasarkan hasil pelaksanaan dasar dan kesejahteraan rakyat, bukan persepsi politik.
— SABAH NEWS TODAY

