Bot pelancong dirempuh dari belakang, tiga cedera di Semporna
SEMPORNA: Dua pelancong warga China dan seorang kru cedera ringan selepas bot dinaiki mereka dirempuh sebuah bot pelancong lain dari arah belakang di perairan Pulau Singamata, di sini, semalam.
Kejadian berlaku ketika bot membawa lapan pelancong China bersama seorang juragan dan tiga kru dalam perjalanan dari Jeti Seafest menuju ke Pulau Bohey Dulang.
Bagaimanapun, bot berkenaan terpaksa berhenti di tengah perjalanan selepas enjinnya tersangkut sampah.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Tan Hiap Wah berkata, ketika kru sedang berusaha membuang sampah yang tersangkut pada enjin, sebuah bot pelancong lain tiba-tiba melanggar bahagian belakang bot terbabit.
“Akibat pelanggaran itu, dua pelancong warga China iaitu lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 28 tahun serta seorang kru bot mengalami kecederaan ringan.
“Bot yang dilanggar turut mengalami kerosakan di bahagian belakang, manakala bot yang melanggar tidak mengalami kerosakan dan krunya tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, polis menerima laporan kejadian pada jam 11.12 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu bot sebuah syarikat pelancongan.
Beliau berkata, bot yang melanggar dikendalikan seorang juragan bersama seorang kru dan dipercayai milik sebuah resort di Semporna.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan bot secara gopoh serta Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan melalui perbuatan yang membahayakan keselamatan orang lain,” katanya.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda, atau kedua-duanya.
Tan turut mengingatkan semua juragan dan pengendali bot supaya sentiasa berwaspada ketika mengendalikan pengangkutan air bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan penumpang.
— SABAH NEWS TODAY

