PMS sokong rombakan Mahkamah Anak Negeri, mahu adat pribumi terus terpelihara

KOTA KINABALU: Persatuan Murut Sabah (PMS) menyokong pembaharuan sistem kehakiman adat Sabah menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai lalu.

Presidennya, Datuk Rubin Balang, berkata pembaharuan itu penting bagi memastikan institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) kekal relevan, berwibawa dan mampu mempertahankan hak serta warisan masyarakat pribumi Sabah.

Menurutnya, langkah kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor bukan sekadar menyusun semula pentadbiran mahkamah, tetapi turut memperkukuh kedudukan undang-undang adat dalam sistem perundangan negeri.

“Pemerkasaan Mahkamah Anak Negeri perlu dilihat sebagai usaha mempertahankan jati diri, kedaulatan adat dan warisan masyarakat pribumi Sabah yang diwarisi turun-temurun,” katanya dalam kenyataan semalam.

Rubin berkata, antara perubahan utama ialah pewujudan tiga peringkat institusi kehakiman, iaitu Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri.

Katanya, PMS turut menyokong pengukuhan jawatan kehakiman serta pelantikan hakim berdasarkan merit bagi meningkatkan kewibawaan institusi berkenaan.

Beliau berkata, pemisahan fungsi pentadbiran adat dan penghakiman juga penting bagi memastikan pengurusan kes lebih teratur tanpa menghakis peranan tradisi Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri.

Pada masa sama, Rubin menegaskan pembangunan institusi kehakiman adat perlu disokong kemudahan fizikal yang mencukupi.

Sehubungan itu, PMS menyambut baik cadangan menaik taraf Kompleks Kehakiman Anak Negeri Sabah serta membina mahkamah baharu di beberapa daerah.

Menurutnya, langkah itu diperlukan bagi memastikan pembaharuan struktur kehakiman dapat diterjemahkan kepada perkhidmatan yang lebih berkesan kepada masyarakat.

Rubin turut memuji komitmen Hajiji dalam memperkukuh institusi adat dan mempertahankan hak masyarakat anak negeri Sabah.

Katanya, PMS berharap pembaharuan berkenaan bukan sahaja memperkemas sistem kehakiman adat, malah memastikan undang-undang dan warisan masyarakat pribumi terus dihormati oleh generasi akan datang.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan