Operasi besar-besaran di Sabah, PGA sita RM7.1 juta aset dan makanan sejuk beku

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menyita aset dan produk sejuk beku bernilai lebih RM7.1 juta dalam operasi besar-besaran di tujuh daerah di Sabah, sekali gus menahan 13 individu bagi membantu siasatan.

Operasi dikenali sebagai Op Salju Mega menerusi Op Taring Chiller itu menyasarkan kegiatan penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan produk sejuk beku yang disyaki menyalahi undang-undang.

Komander Briged Sabah PGA, Datuk Nor Omar Sappi berkata, lapan serbuan dijalankan secara serentak di Kota Kinabalu, Tawau, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Beluran dan Ranau pada Selasa lalu.

Menurutnya, operasi yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu dijalankan berdasarkan maklumat orang awam.

“Kesemua individu yang ditahan didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan di lapan lokasi berkenaan dianggarkan RM7,116,982.98,” katanya dalam kenyataan.

Seramai 13 individu berusia antara 18 hingga 60 tahun ditahan, termasuk seorang lelaki warga asing.

Daripada keseluruhan RM7.1 juta itu, kira-kira RM6.017 juta membabitkan kemudahan bilik sejuk beku, mesin penyejuk dan peralatan berkaitan.

Produk sejuk beku yang dirampas pula bernilai hampir RM1.1 juta.

Pecahan itu menunjukkan sebahagian besar nilai sitaan operasi berkenaan melibatkan kemudahan penyimpanan dan peralatan, bukannya produk makanan semata-mata.

Nor Omar berkata, operasi itu membabitkan 131 pegawai dan anggota daripada PGA serta empat agensi lain, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti membabitkan Enakmen Haiwan Sabah 2015, peraturan pelesenan premis perniagaan dan makanan serta Akta Cukai Pendapatan.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan kesalahan khusus yang disyaki dilakukan setiap individu ditahan.

Di bawah Enakmen Haiwan Sabah 2015, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Semua tahanan dan barang rampasan sudah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Nor Omar berkata, PGA akan meneruskan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pengendalian produk sejuk beku yang melanggar undang-undang.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan berkenaan kepada pihak polis.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan