Kes bunuh di Sulaman Sentral: Polis kesan lelaki 38 tahun bantu siasatan
KOTA KINABALU: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Kusdino bin Paad, 38, bagi membantu siasatan kes bunuh yang berlaku di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, lelaki berkenaan dikesan susulan kejadian yang mengorbankan seorang lelaki berusia 31 tahun selepas dipercayai ditikam di kawasan tangga bersebelahan sebuah premis perniagaan.
Menurutnya, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan lelaki terbabit supaya tampil membantu siasatan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kes bunuh di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan penama diminta tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan bertarikh Sabtu.
Syed Lot berkata, kes berkenaan dirujuk melalui laporan polis Menggatal/16526/2026 dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebelum ini, seorang lelaki berusia 31 tahun dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam ketika cuba menghalang seorang suspek daripada mengejar penjual makanan di luar sebuah kafe di Sulaman Sentral.
Siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun pada mulanya bertengkar dengan penjual makanan terbabit sebelum cuba menyerangnya menggunakan pisau lipat.
Bagaimanapun, penjual makanan itu berjaya melarikan diri sebelum mangsa yang berada di sebuah pusat snooker berhampiran cuba menghalang suspek daripada meneruskan tindakan berkenaan.
Mangsa kemudian dipercayai ditikam menggunakan pisau pemotong daging sebelum sempat melarikan diri dan rebah di kawasan parkir kenderaan berhampiran.
Lelaki itu dibawa ke Hospital Likas oleh ahli keluarganya dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 6.44 pagi.
Sehubungan itu, Syed Lot meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki yang sedang dikesan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

