Pergaduhan dua kumpulan di Sandakan, 11 ditahan termasuk remaja

SANDAKAN: Polis menahan 11 lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Pasar Bandar Ramai-Ramai, di sini, malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata, semua suspek berusia antara 15 hingga 46 tahun itu terdiri daripada lima warga tempatan dan enam warga Filipina.

Menurutnya, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian yang dipercayai membabitkan penggunaan senjata tajam menerusi talian kecemasan kira-kira jam 7.36 malam.

“Susulan maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sandakan menjalankan tindakan sehingga berjaya menahan semua individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara dua kumpulan yang kemudian berlarutan sehingga mencetuskan satu lagi pergaduhan pada sebelah malam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

George berkata, rakaman video kejadian berkenaan turut tersebar di media sosial sejak malam Isnin dan mendapat perhatian orang ramai.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan kejadian termasuk mengesan senjata yang dipercayai digunakan oleh individu terbabit.

Polis turut menjalankan siasatan bagi melengkapkan keterangan berhubung pergaduhan antara kedua-dua kumpulan berkenaan.

Berita Berkaitan