‘Sifar miskin tegar bukan bermakna rakyat Sabah sudah bebas kemiskinan!’ – Warisan
KOTA KINABALU: Jangan hanya berbangga dengan pengumuman sifar kemiskinan tegar sedangkan Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan dan pengangguran tertinggi di negara ini.
Itu teguran keras Parti Warisan terhadap kerajaan negeri yang diminta membuktikan kejayaan membasmi kemiskinan melalui peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan taraf hidup rakyat, bukannya sekadar pengurangan angka dalam senarai rasmi.
Ketua Penerangan Parti Warisan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook berkata, penghapusan kemiskinan tegar dan pembasmian kemiskinan secara menyeluruh adalah dua perkara berbeza.
Menurutnya, pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa negeri itu mencapai sifar kemiskinan tegar tidak bermakna masalah kemiskinan rakyat sudah selesai.
“Senarai kemiskinan tegar yang kosong tidak bermakna keluarga miskin benar-benar berjaya keluar daripada kemiskinan.
“Kejayaan sebenar bukan berapa ramai rakyat dikeluarkan daripada senarai kemiskinan, tetapi berapa banyak keluarga yang benar-benar mampu menikmati kehidupan lebih baik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, berdasarkan data eKasih sehingga 15 Oktober lalu, Sabah masih mempunyai 55,555 ketua isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin.
Katanya, data Tinjauan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula menunjukkan kadar kemiskinan mutlak Sabah masih tinggi pada 17.7 peratus berbanding purata nasional 5.1 peratus.
‘Mana hasil pembangunan jika rakyat masih menganggur?’
Yun Fook berkata, masalah pengangguran turut membelenggu Sabah apabila kadar pengangguran negeri itu bagi 2025 dilaporkan mencecah 7.2 peratus, berbanding purata negara sebanyak 3.0 peratus.
Menurutnya, kira-kira 134,400 individu menganggur sepanjang tahun berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan usaha kerajaan mewujudkan pekerjaan.
“Sabah mempunyai sumber semula jadi, tanah dan potensi pembangunan yang luas. Namun, mengapa kadar kemiskinan dan pengangguran masih tertinggi di Malaysia?
“Kerajaan perlu menjelaskan berapa banyak pekerjaan sebenar diwujudkan setiap tahun dan berapa ramai rakyat tempatan mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kadar pengangguran belia berusia 20 hingga 24 tahun yang menurut data 2024 mencecah 36.9 peratus, manakala kumpulan 25 hingga 29 tahun mencatatkan 16.2 peratus.
Katanya, keadaan itu menunjukkan anak muda Sabah masih berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan dan kemahiran mereka.
Yun Fook turut mempersoalkan sama ada pengurangan jumlah miskin tegar benar-benar berpunca daripada peningkatan pendapatan atau sekadar pengemaskinian data dan penilaian semula kategori kemiskinan.
Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan keluarga yang menerima bantuan mampu mengekalkan kehidupan stabil dan tidak kembali terjerumus dalam kemiskinan.
Menurutnya, Warisan mengambil maklum kenyataan Hajiji pada Seminar Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA), Selasa lalu, bahawa kejayaan program pembasmian kemiskinan tidak boleh diukur melalui jumlah bantuan dan peruntukan semata-mata.
Katanya, prinsip itu perlu diterjemahkan melalui tindakan konkrit, termasuk mewujudkan pekerjaan bergaji munasabah, meningkatkan pendapatan isi rumah dan memperkukuh ekonomi luar bandar.
“Warisan tidak menafikan usaha kerajaan membasmi kemiskinan tegar, tetapi sifar kemiskinan tegar hanyalah satu peringkat, bukannya penamat kepada masalah kemiskinan.
“Rakyat mahu kehidupan lebih baik, bukan sekadar angka cantik dalam laporan kerajaan,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan menetapkan petunjuk prestasi tahunan yang jelas bagi mencapai sasaran mengurangkan kadar kemiskinan mutlak Sabah kepada antara tiga hingga lima peratus menjelang 2030.

