LDP sokong DBKK, gesa penguatkuasaan bangunan haram Pulau Gaya diteruskan

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam menangani isu bangunan haram di Pulau Gaya yang didakwa berlarutan lebih dua dekad tanpa penyelesaian menyeluruh.

Presidennya, Datuk Chin Su Phin berkata, tindakan penguatkuasaan tidak seharusnya terus ditangguhkan kerana dikhuatiri menyebabkan pembinaan tanpa kebenaran semakin bertambah sehingga sukar dikawal.

Menurutnya, tindakan DBKK dan Datuk Bandar dalam melaksanakan undang-undang perlu dihormati memandangkan tiada pihak boleh mengambil atau menduduki tanah sesuka hati, apatah lagi mendirikan bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang tidak boleh dilaksanakan secara bermusim atau berdasarkan tekanan pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keberkesanan usaha menangani masalah berkenaan.

Katanya, sekiranya pembinaan tanpa kebenaran terus dibiarkan, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan pengurusan Pulau Gaya, malah boleh membawa implikasi lebih besar terhadap keselamatan dan kepentingan awam.

Bagaimanapun, Chin menekankan bahawa ketegasan dalam penguatkuasaan perlu disertai pendekatan kemanusiaan, khususnya dalam memastikan keluarga terjejas diberikan penjelasan sewajarnya serta bantuan bersesuaian mengikut keperluan.

Menurutnya, isu Pulau Gaya bukan sekadar membabitkan perobohan struktur haram, sebaliknya turut melibatkan masa depan pengurusan pulau berkenaan, kebersihan persekitaran, keselamatan penduduk dan imej bandar raya Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sampai bila tindakan penguatkuasaan perlu ditangguhkan memandangkan isu berkenaan didakwa berlarutan lebih 20 tahun.

Chin berkata, penyelesaian berkesan memerlukan ketegasan pihak berkuasa, pemantauan berterusan serta pematuhan undang-undang oleh semua pihak.

Beliau menegaskan, LDP mahu tindakan penguatkuasaan diteruskan mengikut lunas undang-undang tanpa mengabaikan kebajikan penduduk terjejas demi memastikan Pulau Gaya dapat diuruskan dengan lebih teratur, bersih dan selamat dalam jangka panjang.

Berita Berkaitan