PH Sabah sokong pendirian Hajiji kekalkan kerjasama GRS, BN dan PH
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk meneruskan kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan PH demi menjamin kestabilan politik negeri.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kestabilan politik penting bagi membolehkan kerajaan negeri dan Persekutuan meneruskan agenda pembangunan serta memastikan perkhidmatan asas yang diperlukan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan masalah bekalan air dan elektrik dapat ditangani, jalan raya dibaiki serta projek tebatan banjir disiapkan mengikut jadual.
“Kestabilan ini membolehkan kerajaan Sabah dan Persekutuan meneruskan usaha menyampaikan projek dan perkhidmatan yang rakyat perlukan.
“Keutamaan utama adalah untuk memastikan bekalan air dan elektrik lebih terjamin, jalan raya dibaiki dan projek tebatan banjir siap mengikut jadual,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata, kerjasama erat antara kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan impak positif terhadap pembangunan negeri.
Katanya, antara perkembangan penting ialah peningkatan pemberian khas interim Sabah kepada RM1.5 bilion bagi 2026, selain pengiktirafan terhadap hak 40 peratus Sabah yang kekal diperakui untuk diselesaikan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kesediaan Hajiji untuk meneruskan kerjasama antara tiga gabungan politik berkenaan sebagai langkah matang yang mengutamakan kepentingan rakyat berbanding perbezaan pandangan politik.
“Kesediaan Ketua Menteri untuk meneruskan kerjasama antara GRS, PH dan BN mencerminkan jiwa besar beliau dalam menyatukan rakan-rakan yang berbeza pandangan politik.
“Pendirian ini menunjukkan bahawa kepentingan rakyat Sabah tetap menjadi keutamaan walaupun dalam kerencaman politik yang semakin dinamik,” katanya.
Mustapha berkata, PH Sabah kekal menyokong pendekatan kerjasama tersebut bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara, sekali gus membolehkan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dilaksanakan secara berterusan.

