Hajiji berjiwa besar mahu GRS, BN dan PH kekal bersama – Najib Tay
KOTA KINABALU: Pendirian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk meneruskan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) membuktikan kematangan politik serta kepimpinan beliau yang berjiwa besar.
Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, pendekatan itu mencerminkan visi politik Hajiji yang mengutamakan kestabilan pentadbiran dan keseimbangan hubungan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.
Menurutnya, kesediaan Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengekalkan kerjasama dengan parti sekutu memperlihatkan komitmen untuk mengutamakan kepentingan Sabah tanpa dipengaruhi perbezaan politik antara parti.
“Seperti mana yang kita tahu, kerajaan perpaduan di Sabah melibatkan pemimpin GRS, BN dan PH selain sekutu lain.
“Dengan saranan kerjasama itu akan diteruskan pada PRU16 nanti, saya melihat itulah Hajiji yang sebenar kerana mengambil kira kepentingan Sabah di peringkat negeri dan nasional,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Najib Tay berkata, pendirian berkenaan juga menunjukkan Hajiji tidak menjadikan perbezaan politik antara negeri dan nasional sebagai penghalang untuk mengekalkan kerjasama dalam kerajaan Sabah.
“Ia juga menunjukkan beliau seorang yang berjiwa besar dalam politik kerana mengetepikan sentimen dinamika politik di Semenanjung dan mahu melihat parti yang membentuk kerajaan Sabah pada hari ini terus bersatu,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan kestabilan politik Sabah terus terpelihara, khususnya menjelang PRU16.
Terdahulu, Hajiji ketika berucap pada sebuah majlis di Kota Kinabalu semalam menyatakan kesediaannya untuk meneruskan kerjasama GRS, BN dan PH dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketua Menteri berkata, GRS ditubuhkan bagi memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan kerajaan kukuh, stabil dan mengutamakan kepentingan negeri.
“Kita mahu stabil. Kalau kita mahu stabil, kita kena bekerjasama dengan apa yang ada dalam kerajaan sekarang.
“Kerjasama kita dengan PH dan BN ini akan kita teruskan dalam Pilihan Raya Umum dan juga Pilihan Raya Negeri yang akan datang,” katanya.

