Kerajaan Sabah pertimbang tangguh roboh rumah Kg Pondo demi calon SPM
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersedia mempertimbangkan penangguhan tindakan perobohan kediaman yang dibina tanpa kebenaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya, khususnya bagi mengambil kira kepentingan pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri memahami kesulitan dihadapi penduduk terlibat, namun sebarang tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan berlandaskan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, Kampung Pondo merupakan kawasan penempatan setinggan yang sudah terlalu padat, selain terletak di kawasan pulau yang tidak dibenarkan untuk pembinaan kediaman.
“Ini boleh kita pertimbangkan, tetapi untuk makluman, kampung itu kita anggap kampung setinggan. Bukan baru kerajaan mengeluarkan nasihat supaya mereka tidak mendirikan rumah di sana.
“Sudah padat, terlampau banyak rumah di kawasan itu. Ini kawasan peranginan, dekat pulau, jadi rakyat kita mesti tahu.
“Bukan kita kerajaan yang tidak prihatin. Kita prihatin kepada rakyat kita, tetapi kita kena ikut proses undang-undang dan peraturan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Ahad.
Hajiji menjelaskan, kerajaan negeri sudah lama merancang tindakan pemindahan atau perobohan penempatan setinggan di kawasan berkenaan, selaras dengan usaha memastikan pembangunan dan penggunaan tanah dilaksanakan secara teratur.
Katanya, penduduk perlu memahami bahawa tempoh menduduki sesuatu kawasan selama berpuluh-puluh tahun tidak mengubah status kawasan berkenaan sebagai lokasi yang tidak dibenarkan untuk pembinaan rumah.
“Kalau kerajaan sudah bersedia untuk merobohkan, kita kena faham. 40 tahun, bertahun-tahun di sana, jadi jangan dijadikan itu isu seolah-olah kerajaan tidak prihatin.
“Kerajaan prihatin. Kita cari jalan untuk mengatur ataupun memastikan bahawa kehidupan mereka juga tidak terjejas. Tapi kita mesti tahu bahawa kawasan itu dilarang untuk mendirikan rumah. Ia kawasan setinggan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan kerajaan negeri tidak pernah mengetepikan kebajikan penduduk yang terkesan dengan tindakan penguatkuasaan tersebut.
Beliau berkata, kerajaan akan terus mencari pendekatan bersesuaian bagi memastikan kehidupan penduduk tidak terjejas, di samping mengekalkan prinsip pematuhan terhadap undang-undang.
Bagaimanapun, sebarang penangguhan tindakan perobohan masih tertakluk kepada pertimbangan kerajaan negeri dan belum diputuskan secara muktamad.

