Amaran keselamatan jalan raya susulan aliran lumpur dan batu di kawasan Mohimboyon dan Lipantai

RANAU: Penduduk Kampung Mohimboyon, Kampung Lipantai serta pengguna jalan raya utama di laluan Kibbas–Tambiau dan Mohimboyon–Kundasang Lama dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada susulan kejadian hujan lebat petang tadi yang mengakibatkan aliran lumpur dan batu sehingga menjejaskan keadaan jalan raya di kawasan berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan beberapa laluan jalan raya dipenuhi lumpur dan batu, sekali gus berpotensi membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal dan pemandu kenderaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan laluan yang terjejas sekiranya keadaan didapati tidak selamat serta tidak cuba meredah kawasan yang masih mengalami aliran lumpur aktif.

Pengguna jalan raya juga diminta supaya sentiasa mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.37 Karanaan telah menghubungi Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau bagi memaklumkan kejadian berkenaan serta memohon tindakan segera bagi menangani keadaan tersebut.

Pihak JKR Ranau kemudiannya telah memanjangkan maklumat mengenai kejadian itu kepada pihak konsesi dan kontraktor yang terlibat di kawasan sekitar untuk tindakan susulan yang sewajarnya.

UPPM N.37 Karanaan berharap semua penduduk dan pengguna jalan raya akan terus mengambil langkah berjaga-jaga, terutama ketika keadaan cuaca tidak menentu dan berisiko mengakibatkan kejadian seumpama itu.

Kerjasama semua pihak dalam mematuhi nasihat keselamatan dan mengelakkan kawasan berbahaya amat dihargai bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan keselamatan bersama.

Berita Berkaitan