Anwar sanggup berhujan demi Siti Nurhaliza, 63,000 peminat gegarkan Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Hujan bukan penghalang buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk bersama kira-kira 63,000 peminat menyaksikan persembahan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Anwar mencuri perhatian apabila dilihat memakai baju hujan sambil menikmati Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung dalam suasana meriah meskipun hujan membasahi stadium.

Konsert yang bermula jam 8.30 malam itu menyaksikan puluhan ribu peminat tetap setia memenuhi stadium bagi menyaksikan persembahan penyanyi kesayangan ramai berkenaan.

Siti yang menyedari kehadiran Perdana Menteri tidak melepaskan peluang merakamkan penghargaan kepada Anwar kerana meluangkan masa menghadiri konsert itu walaupun mempunyai jadual tugas padat.

“Kami berbesar hati menyambut kehadiran Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Terima kasih kerana sudi hadir memeriahkan konsert muzik tradisional terbesar saya,” katanya selepas menyampaikan persembahan duet bersama Haziq Rosebi.

Anwar turut dilihat duduk bersebelahan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, ketika menyaksikan persembahan yang mengangkat keindahan muzik tradisional dan warisan Nusantara.

Dalam pada itu, Siti menyifatkan penganjuran Gema Bumantara sebagai impian yang akhirnya menjadi kenyataan.

“Walau apa pun, ini impian yang menjadi kenyataan buat saya. Saya sendiri tidak pasti bila lagi impian ini dapat direalisasikan.

“Akhirnya, ia terlaksana di sini, di stadium terbesar negara,” katanya disambut sorakan gemuruh peminat.

Konsert selama tiga jam itu menyaksikan Siti mempersembahkan lebih 30 lagu klasik dengan gabungan tarian zapin, wayang kulit serta busana tradisional.

Turut memeriahkan konsert ialah Noraniza Idris, Haziq Rosebi serta penyanyi popular Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.

Gema Bumantara berlangsung sembilan bulan selepas Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di lokasi sama pada 10 Januari lalu yang menghimpunkan kira-kira 65,000 peminat.

Konsert berkenaan bukan sekadar menghiburkan penonton, malah menjadi pentas memperkenalkan keunikan muzik tradisional kepada generasi muda.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan