Armizan mahu PAC siasat kesan penamatan PDP Pan Borneo pada 2019

PAPAR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa memperluaskan skop siasatan terhadap kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 dengan turut meneliti keputusan penamatan model Project Delivery Partner (PDP) pada 2019.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penelitian itu penting bagi mengenal pasti faktor sebenar yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek berkenaan.

Menurutnya, siasatan PAC perlu merangkumi keseluruhan aspek pelaksanaan projek, termasuk keputusan penamatan model PDP yang berkemungkinan memberi kesan kepada kelancaran kerja pembinaan.

“Kita mengalu-alukan keputusan PAC untuk membuat tindakan susulan daripada penyiasatan yang akan melibatkan pelbagai prosiding bagi melihat dan memastikan kelemahan dalam pelaksanaan projek Pan Borneo.

“Namun, kita ingin menyarankan supaya skop siasatan PAC ini diperluaskan merangkumi aspek asas dan juga implikasi kepada penamatan PDP pada tahun 2019 yang cukup penting untuk diteliti, termasuk isu berbangkit serta kesan daripada keputusan tersebut,” katanya.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, ketidaktentuan status PDP selepas pertukaran kerajaan pada 2018 turut menimbulkan gangguan terhadap pelaksanaan kerja di lapangan, termasuk proses pelantikan semula kontraktor.

Beliau berkata, penelitian terhadap keputusan berkenaan perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan punca kelewatan projek dapat dikenal pasti berdasarkan fakta dan kronologi pelaksanaannya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengemukakan memorandum kepada PAC bagi memastikan isu penamatan model PDP pada 2019 turut diberikan perhatian dalam siasatan.

Katanya, langkah itu penting supaya siasatan PAC dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai kelemahan dan cabaran yang dihadapi sepanjang pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1.

Berita Berkaitan