Bawa sambutan Hari Sabah ke luar bandar

KINABATANGAN: Sambutan Hari Sabah perlu dibawa hingga ke pelosok luar bandar supaya masyarakat tidak sekadar meraikannya, malah memahami sejarah dan makna 31 Ogos 1963.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Mokhtar berkata, penghayatan Hari Sabah penting terutama dalam usaha mendidik generasi muda mengenai sejarah negeri serta memupuk semangat cintakan negara.

Katanya, selepas tiga tahun sambutan itu diraikan, sudah tiba masanya pengisiannya diperluaskan supaya masyarakat luar bandar turut merasai semangat yang sama.

“Kita mahu sambutan ini bukan sahaja setakat di dalam bandar, tetapi dibawa ke luar bandar agar semua merasai apa yang dirasai di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dan Hari Sabah 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Garam II, pada Selasa.

Menurut Kurniawan, sambutan itu bukan sekadar acara perayaan kerana masa depan Sabah dan Malaysia bergantung kepada generasi yang memahami sejarah serta mempunyai kecintaan terhadap negara.

Sementara itu, ADUN Lamag, Mohd Ismail Ayub mahu kesedaran mengenai Hari Sabah diterapkan sejak di peringkat sekolah.

“Bila kita menyebut bulan Ogos, ia bukan sahaja mengenai kemerdekaan Tanah Melayu, tetapi juga kemerdekaan Sabah,” katanya.

Ismail berkata, sekolah, guru, pemimpin masyarakat, jabatan kerajaan dan wakil rakyat mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyampaikan sejarah berkenaan kepada masyarakat.

Katanya, penghayatan Hari Sabah juga tidak boleh sekadar mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah, tetapi perlu disertai pemahaman mengenai kepentingan 31 Ogos 1963 dalam sejarah negeri.

Berita Berkaitan