Bekalan elektrik Sabah bertambah baik selepas ambil alih kawal selia, kata Hajiji
KOTA KINABALU: Sistem bekalan elektrik Sabah menunjukkan peningkatan sejak kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata jidar simpanan penjanaan meningkat daripada paras terendah 8% pada 2024 kepada 19% setakat Ogos tahun ini, dan dijangka mencecah 26% menjelang akhir 2026.
Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) pula bertambah baik daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini.
āDahulu, kita terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan, tetapi sejak kita mengambil alih, kita boleh melaksanakannya sendiri dan mempertingkatkan sistem bekalan elektrik kita dengan lebih cepat,ā katanya.
Hajiji berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu.
Sabah mengambil alih kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu selepas Dewan Undangan Negeri meluluskan tiga enakmen berkaitan pada 3 Jan 2024.
Hajiji berkata usaha memperkukuh sektor tenaga perlu turut merangkumi infrastruktur penghantaran dan pembahagian bagi meningkatkan kebolehpercayaan sistem.
Langkah itu, katanya, selaras dengan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) serta sasaran mencapai 50% campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035.
Bagi Pantai Timur Sabah, kerajaan turut merancang pembangunan loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau untuk menggantikan loji berasaskan diesel dan Medium Fuel Oil (MFO) yang berkos tinggi.
Penambahan Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) juga akan dilaksanakan bagi mengukuhkan sistem penjanaan, khususnya di Pantai Timur.
Hajiji berkata Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) akan terus memantau projek yang diluluskan supaya disiapkan mengikut jadual dan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik negeri.

