Belanjawan 2027 perkasa pembangunan pedalaman Sabah – Arthur
KOTA KINABALU: Belanjawan 2027 membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan pedalaman Sabah, khususnya melalui peningkatan kemudahan asas serta jaringan perhubungan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah, peningkatan Pemberian Khas interim kepada RM1.5 bilion serta usaha mempercepat penyelesaian perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, sebagai Ahli Parlimen Pensiangan, pembangunan jalan raya dan prasarana asas kekal menjadi antara keutamaan utama masyarakat pedalaman.
“Peruntukan RM3.3 bilion bagi projek jalan raya di Sabah dan Sarawak, khususnya sasaran menyiapkan Sarawak-Sabah Link Road 1 serta Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B menjelang penghujung tahun depan, bakal memberi impak besar kepada pergerakan rakyat dan kegiatan ekonomi setempat.
“Peruntukan RM350 juta bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan khusus untuk kontraktor tempatan kelas G1 hingga G4 di Sabah dan Sarawak juga mampu mempercepat kerja pembaikan jalan, selain membantu usahawan kecil,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Arthur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata, usaha mengurangkan kos sara hidup penduduk luar bandar turut diberi perhatian melalui peluasan program pengedaran barangan asas ke kawasan baharu.
Katanya, langkah itu termasuk peluasan ke Kampung Terian, Penampang dan Kampung Sarawak bagi memastikan penduduk memperoleh barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Beliau berkata, kemudahan pentadbiran dan keselamatan di pedalaman turut diperkukuh menerusi pembinaan Pejabat Imigresen baharu di Keningau serta kemudahan kuarters Depot Tahanan Imigresen Papar.
Dalam aspek bekalan tenaga, pelaksanaan Sistem Statcom dan Talian Penghantaran Southern Link pula dijangka membantu meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di Sabah.
“Pelantikan wakil tetap Sabah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta penyerahan kuasa kawal selia gas dengan pembiayaan RM600 juta juga merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekonomi negeri,” katanya.
Arthur turut menyambut baik peningkatan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran Sabah dan Sarawak setiap tahun, selain peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf sekolah daif di kedua-dua negeri.
Menurutnya, pembangunan ekonomi komuniti juga mendapat perhatian melalui penambahbaikan pusat penjaja di Arena Niaga Kunak dan Hentian Telupid, penganjuran Tamu Desa serta peluasan insentif pembajakan RM300 sehektar kepada pesawah tempatan.
Beliau berharap semua inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan supaya manfaat pembangunan turut dinikmati masyarakat di kawasan pedalaman.
“Semua pihak perlu bersama-sama menjayakan pelaksanaan inisiatif ini bagi memastikan tiada wilayah atau penduduk tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya.

