BHESS, SPR mula bincang penambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

PUTRAJAYA: Usaha menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak memasuki peringkat libat urus apabila Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, pertemuan dengan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun itu bertujuan membincangkan hala tuju dan mekanisme pelaksanaan cadangan berkenaan.

Katanya, antara perkara diberi perhatian ialah proses serta pertimbangan Perlembagaan, perundangan dan teknikal termasuk persempadanan kawasan pilihan raya, data diperlukan dan bentuk libat urus bersama pihak berkepentingan.

Pada masa ini, Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen manakala Sarawak 31 kerusi, menjadikan keseluruhannya 56 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. 

Menurut Mustapha, cadangan yang dikemukakan adalah supaya perwakilan kedua-dua wilayah ditingkatkan kepada 35 peratus.

“Ini bukan semata-mata soal menambah kerusi. Ia berkaitan usaha memastikan kedudukan dan suara Sabah serta Sarawak dalam Parlimen terus diperkukuh selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia dan pelaksanaan MA63,” katanya dalam kenyataan.

SPR sebelum ini menjelaskan kajian semula persempadanan susulan cadangan penambahan kerusi itu tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan dan turut mengambil kira bahagian pilihan raya di Semenanjung. 

Mustapha berkata, BHESS akan meneruskan kerjasama dengan SPR supaya sebarang tindakan susulan dilaksanakan secara teratur, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta menghormati bidang kuasa badan berkenaan.

Berita Berkaitan