Blackout Sabah: Apa jadi projek BESS RM645 juta, soal Shafie

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempersoalkan keberkesanan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bernilai RM645 juta di Lahad Datu susulan gangguan bekalan elektrik besar-besaran di pantai timur Sabah.

Beliau berkata, kemudahan itu diumumkan khusus untuk menstabilkan bekalan elektrik di kawasan berkenaan, namun kerajaan perlu menjelaskan sejauh mana ia membantu ketika krisis semasa.

Shafie turut mempersoalkan status projek Southern Link yang menerima peruntukan RM765 juta menerusi Belanjawan 2026 bagi menyediakan laluan penghantaran elektrik alternatif.

“Mengapa pantai timur Sabah masih begitu bergantung pada satu laluan penghantaran elektrik sedangkan risikonya sudah diketahui sejak kejadian tahun lalu?” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, tumbangnya sebuah menara penghantaran di Ranau menyebabkan dua talian penghantaran 275kV terputus, mengakibatkan kehilangan bekalan elektrik sebanyak 295MW.

Katanya, selepas enam tahun mentadbir, kerajaan GRS perlu dinilai berdasarkan prestasinya menyelesaikan masalah infrastruktur asas rakyat.

Shafie turut menggesa siasatan teknikal bebas dijalankan dengan hasilnya didedahkan kepada umum serta pelan tindakan yang mempunyai tempoh pelaksanaan jelas.

Beliau berkata, kerajaan negeri mesti bertanggungjawab memastikan bekalan elektrik stabil dan terjamin memandangkan kuasa kawal selia kini terletak di bawah pentadbirannya.

Berita Berkaitan