BN tidak berganjak, tetap mahu pertahan Parlimen Beaufort

BEAUFORT: Barisan Nasional (BN) Beaufort menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tidak akan berubah meskipun terdapat parti lain yang turut berhasrat bertanding di kawasan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, tuntutan mempertahankan kerusi itu sudah disuarakan sejak awal dan perlu dihormati dalam sebarang rundingan pembahagian kerusi antara parti politik.

Menurut beliau, BN tidak menghalang mana-mana parti daripada menyatakan hasrat bertanding, namun kedudukan gabungan itu sebagai penyandang Parlimen Beaufort perlu diberikan pertimbangan sewajarnya.

“Sebagai kerusi yang sedang diwakili BN, Parlimen Beaufort merupakan antara kerusi yang mahu terus dipertahankan.

“Jika ada parti yang tidak mahu berunding dengan kita atau mahu bergerak solo dalam PRU16, itu terpulang kepada mereka. Itu keputusan mereka.

“Yang penting, BN akan mempertahankan kerusi Parlimen Beaufort. Titik,” katanya dalam kenyataan.

Awang Aslee berkata, tuntutan BN bukan perkara baharu yang hanya dibangkitkan apabila timbul persaingan mendapatkan kerusi berkenaan.

Sebaliknya, beliau menegaskan pendirian itu sudah dimaklumkan lebih awal dan wajar dijadikan asas pertimbangan dalam rundingan antara parti.

“Pendirian BN jelas dan tegas. Beaufort ialah kerusi yang mahu dipertahankan dan tuntutan itu bukan perkara baharu.

“Kami sudah menyatakan pendirian sejak awal, maka sebarang rundingan perlu mengambil kira fakta tersebut dengan serius,” katanya.

Elak pertikaian jejas kerjasama PRU16

Dalam pada itu, Awang Aslee mengingatkan semua pihak supaya tidak membiarkan pertikaian pembahagian kerusi menjejaskan peluang kerjasama politik pada PRU16.

Katanya, Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan sebarang perselisihan mengenai satu atau dua kawasan tidak seharusnya menggugat usaha bersama untuk memenangi lebih banyak kerusi.

“Kita tidak mahu disebabkan satu dua kerusi yang menjadi pertikaian antara kita, ia boleh menjejaskan peluang bersama untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam PRU16 nanti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa semangat kerjasama politik perlu berasaskan sikap saling menghormati antara parti yang terlibat.

Menurutnya, BN menghormati hak parti lain untuk mengemukakan tuntutan, namun pendirian gabungan itu juga tidak boleh dipandang ringan.

Bagaimanapun, Awang Aslee berkata, keputusan muktamad mengenai pembahagian kerusi akan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti.

“Walau bagaimanapun, kita serahkan kepada presiden parti masing-masing untuk membuat rundingan kerana akhirnya keputusan berada di tangan mereka,” katanya.

Berita Berkaitan