Cemas kaki pelajar 13 tahun tersepit gerigi longkang

PAPAR: Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun berdepan detik cemas apabila kakinya tersepit pada gerigi besi longkang di Lorong Sabindo, Kinarut, hari ini.

Kejadian itu menyebabkan pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas Rescuetech Spreader untuk merenggangkan gerigi besi sebelum mengeluarkan kaki mangsa.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 10.50 pagi.

Enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan diketuai PBK I Norazrin Suhairi tiba di lokasi pada jam 10.57 pagi.

Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat sebelum kaki mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 11 pagi.

Pelajar berkenaan dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Operasi ditamatkan selepas bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.

Berita Berkaitan