Chin, Istefan gesa KKM siasat dakwaan baharu libat pengarah hospital

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Chin Teck Ming dan Dr Istefan Koh menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil alih siasatan secara bebas susulan dakwaan kemunculan seorang lagi individu yang dikaitkan dengan seorang pengarah hospital di Sabah.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata sekiranya dakwaan itu benar, ia menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan tindakan susulan yang diambil selepas siasatan dalaman dijalankan tahun lalu.

Mereka mendakwa menerima maklumat bahawa siasatan dalaman berkenaan mengesyorkan supaya pengarah hospital terbabit memohon maaf secara terbuka kepada mangsa serta mengambil persaraan awal.

“Jika maklumat itu benar, rakyat berhak mengetahui sama ada syor berkenaan telah dilaksanakan sepenuhnya atau sebaliknya,” kata mereka.

Mereka turut mempersoalkan sama ada pengarah hospital berkenaan masih menjalankan tugas serta faktor yang menyebabkan proses persaraan awal didakwa masih belum dilaksanakan.

Menurut mereka, sekiranya syor hasil siasatan dalaman itu dilaksanakan lebih awal, persoalan sama ada dakwaan melibatkan individu kedua dapat dielakkan wajar diberi perhatian.

Bagaimanapun, mereka menegaskan kenyataan itu bukan bertujuan membuat kesimpulan terhadap mana-mana individu sebelum siasatan selesai, sebaliknya bagi memastikan akauntabiliti pentadbiran.

Mereka turut menggesa Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKN Sabah) memberikan penjelasan mengenai status pelaksanaan syor siasatan dalaman serta meminta KKM menjalankan siasatan secara bebas dan telus.

Berita Berkaitan