COOPFEST Borneo platform perluas perniagaan koperasi Sabah, Sarawak – Ewon

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, COOPFEST Borneo merupakan platform untuk memperluas jaringan perniagaan koperasi Sabah dan Sarawak.

Beliau berharap pertemuan koperasi dari kedua-dua negeri itu bukan sekadar mempromosikan produk, tetapi turut membuka peluang kepada hubungan pembekalan, perkongsian kepakaran dan pasaran yang berkekalan.

“COOPFEST Borneo bukan sekadar karnival pameran dan jualan, malah platform mendekatkan koperasi dengan masyarakat, mempertemukan koperasi dengan pasaran, memperluas jaringan perniagaan dan menyerlahkan peranannya sebagai penggerak ekonomi komuniti.

“Sabah dan Sarawak mempunyai kekuatan sumber tempatan, keunikan budaya dan potensi keusahawanan komuniti. Melalui COOPFEST Borneo, koperasi kedua-dua negeri berpeluang membangunkan pasaran Borneo sebagai ekosistem perniagaan yang saling melengkapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan COOPFEST Borneo 2026 di Suria Shopping Mall, di sini, hari ini.

Ewon berkata, koperasi Sabah dan Sarawak perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk membangunkan jaringan pembekalan dan pemasaran, khususnya dalam sektor pertanian, makanan, pelancongan komuniti, kraftangan dan perkhidmatan.

“Saya mahu agar lebih banyak koperasi membina jaringan pembekalan hasil pertanian dan makanan, pengedaran barangan, pelancongan komuniti, kraftangan serta perkhidmatan.

“Gabungan kekuatan pengeluaran, logistik, pemasaran dan pelanggan akan membantu koperasi meningkatkan skala perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, COOPFEST Borneo yang julung kali dianjurkan itu menghimpunkan 30 koperasi dari Sabah dan Sarawak, selain 10 usahawan TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), dengan jangkaan kira-kira 2,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.

Katanya, penyertaan koperasi dan usahawan dalam program itu perlu dimanfaatkan untuk membina hubungan perniagaan yang dapat diteruskan selepas penganjuran berakhir.

Dalam pada itu, Ewon berkata, gerakan koperasi Sabah mempunyai potensi besar untuk terus berkembang berdasarkan prestasi ekonomi yang direkodkan sehingga Disember 2025.

Menurutnya, sebanyak 2,047 koperasi direkodkan di Sabah dengan keanggotaan seramai 388,683 orang, jumlah aset RM1.172 bilion dan perolehan RM913.33 juta.

“Perangkaan ini membuktikan kekuatan ekonomi koperasi Sabah dan asas yang tersedia untuk mengembangkan perniagaan. Namun, pertumbuhan aset dan perolehan mesti disokong pengurusan profesional, tadbir urus yang baik serta strategi pasaran berkesan,” katanya.

Ewon berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh keupayaan usahawan tempatan, termasuk koperasi, melalui bantuan pembangunan, latihan, peningkatan mutu produk dan peluasan pasaran.

Katanya, Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET dengan peruntukan RM1 juta pada tahun ini turut diperluas skopnya kepada koperasi, selain usahawan individu dan persatuan keusahawanan.

Setakat ini, dua koperasi telah menerima manfaat daripada program itu.

Beliau turut menggalakkan koperasi memanfaatkan Program Bantuan SME-UP yang dilaksanakan melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), termasuk bantuan mesin dan peralatan pengeluaran, teknologi pemprosesan makanan, pendaftaran cap dagangan serta pensijilan halal.

Katanya, kerjasama antara MINDET, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan pemain industri penting bagi meningkatkan daya saing produk serta pendapatan anggota koperasi.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Setiausaha Tetap MINDET, Moira David.

Berita Berkaitan