DAP serah kepada perwakilan tentukan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan
PUTRAJAYA: DAP menyerahkan kepada lebih 4,000 perwakilannya untuk menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal atau mengambil peranan sebagai kumpulan pendesak.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata keputusan besar mengenai kedudukan parti dalam Kerajaan Persekutuan perlu dibuat secara kolektif dan bukan hanya diputuskan oleh 40 Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
Menurutnya, perkara itu sudah dibincangkan dalam CEC sebelum kepimpinan memutuskan untuk menyerahkan keputusan berkenaan kepada perwakilan pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026.
“Kita telah berbincang dalam CEC dan diputuskan supaya kita serahkan kepada para perwakilan untuk menentukan sama ada parti terus berada dalam Kerajaan Persekutuan atau tidak,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, berada dalam kerajaan turut membawa kekangan dan kelemahan tertentu yang perlu ditanggung secara bersama.
Justeru, katanya, perwakilan perlu menilai sama ada DAP harus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal atau memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak.

