DBKK dipuji tunda kereta, penduduk Numbak pula tagih tindakan isu sampah

KOTA KINABALU: Selepas Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima pujian berikutan tindakan tegas terhadap parkir berganda dan operasi menunda kenderaan di sekitar ibu negeri, penduduk Kampung Numbak kini menggesa pihak berkuasa tempatan itu memberi tumpuan kepada isu longgokan sampah yang didakwa berlarutan sejak sekian lama.

Wakil penduduk, Harun Mandasa berkata, masalah berkenaan bukan perkara baharu, malah telah berulang walaupun penduduk beberapa kali bergotong-royong membersihkan kawasan terbabit.

Menurutnya, usaha komuniti itu hanya memberi kesan sementara kerana longgokan sampah kembali muncul selepas beberapa ketika.

“Kami sudah banyak kali mengemukakan aduan kepada DBKK. Penduduk juga tidak pernah berhenti bergotong-royong membersihkan kawasan, namun masalah ini terus berulang.

“Kami berharap DBKK dapat memberi perhatian yang sama serius terhadap isu kebersihan seperti mana tindakan pantas yang diambil dalam operasi penguatkuasaan di bandar,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja mencacatkan imej kawasan, malah boleh mengundang pencemaran alam sekitar, bau busuk dan risiko kesihatan kepada penduduk.

Katanya, tindakan jangka panjang seperti meningkatkan kutipan sampah, pemantauan berkala, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta tindakan terhadap individu yang membuang sampah secara haram perlu dipertimbangkan.

Berita Berkaitan