Degil sambung semula bekalan air, akhirnya kena kompaun

TONGOD: Tindakan menyambung semula bekalan air secara tidak sah selepas dipotong mengundang padah apabila kesalahan itu dikesan Jabatan Air Negeri Sabah di Kampung Pinangah pada Ahad.

Jabatan berkenaan memaklumkan akaun terbabit telah diputuskan bekalan pada 29 Julai lalu.

Bagaimanapun, ketika rondaan dilakukan pada 9 Ogos, sambungan berkenaan didapati telah dibuat semula tanpa kebenaran.

Pihak Jabatan Air kemudian mengambil tindakan menutup semula paip yang telah disita selain mengeluarkan kompaun kepada pesalah.

Menurut jabatan itu, sambungan air secara haram merupakan kesalahan di bawah Seksyen 49(b) dan boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Penyambungan semula secara tidak sah pula merupakan kesalahan di bawah Seksyen 53 yang turut membawa hukuman maksimum sama.

Orang ramai dinasihatkan supaya memohon sambungan bekalan air melalui saluran sah dan tidak melakukan sebarang penyambungan tanpa kebenaran.

Berita Berkaitan