Doktor tidak lapor diri cerminan jurang pembangunan Sabah, Sarawak – Jeffrey

KOTA KINABALU: Isu sebahagian pegawai perubatan baharu tidak melapor diri di Sabah dan Sarawak bukan sekadar berkaitan kekurangan doktor, sebaliknya disifatkan sebagai ‘loceng amaran’ terhadap jurang pembangunan yang masih berlarutan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata, faktor kemudahan asas dan kos sara hidup turut mempengaruhi kesediaan penjawat awam untuk berkhidmat terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, laporan awal menunjukkan tiada pegawai perubatan baharu melapor diri di Hospital Keningau, Beluran dan Sipitang di Sabah serta Hospital Kanowit di Sarawak, manakala beberapa fasiliti lain dilaporkan mencatat kadar tidak melapor diri antara 70 hingga 76 peratus.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjelaskan proses melapor diri masih berlangsung sehingga 7 Oktober, justeru angka berkenaan perlu disahkan terlebih dahulu.

“Persoalan lebih besar ialah mengapa penempatan di Sabah dan Sarawak masih kurang menarik walaupun menawarkan pekerjaan tetap?

“Jika keadaan ini menyebabkan doktor keberatan untuk berkhidmat selama beberapa tahun, kita perlu bertanya, bagaimana pula dengan rakyat tempatan yang terpaksa hidup dalam keadaan tersebut selama puluhan tahun?” katanya dalam kenyataan.

Jeffrey berkata, doktor tidak seharusnya dipersalahkan secara mudah kerana keputusan tidak melapor diri mungkin dipengaruhi kos perpindahan, perpisahan keluarga, beban kerja, kemudahan asas serta ketidakpastian tempoh penempatan.

Menurutnya, kekurangan doktor memberi kesan langsung kepada rakyat apabila tempoh menunggu mendapatkan rawatan menjadi lebih panjang selain meningkatkan tekanan terhadap petugas kesihatan sedia ada.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab masing-masing kerana KKM tidak mampu menyelesaikan secara bersendirian masalah jalan raya, air, elektrik, perumahan dan kemudahan asas.

Sehubungan itu, Jeffrey mencadangkan sokongan kepada doktor dan penjawat awam yang ditempatkan di lokasi sukar diperkukuh menerusi elaun wilayah, elaun kesusahan, bantuan perpindahan, penginapan serta kos perjalanan berdasarkan perbelanjaan sebenar.

Dalam pada itu, beliau turut mengaitkan kemampuan Sabah menangani pembangunan asas dengan tuntutan hak 40 peratus hasil negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Isu doktor tidak melapor diri perlu dilihat sebagai loceng amaran terhadap jurang pembangunan yang lebih besar.

“Tindakan segera mesti diambil untuk memastikan fasiliti kesihatan yang terjejas terus berfungsi. Pada masa sama, punca asas yang menyebabkan penempatan tersebut sukar dipenuhi mesti ditangani,” katanya.

Berita Berkaitan