Dua laporan polis tidak tentukan konsert gospel salah di sisi undang-undang – Madius

KOTA KINABALU: Kewujudan dua laporan polis berhubung cadangan penganjuran konsert gospel Kristian tidak seharusnya secara automatik menentukan nasib acara berkenaan sekiranya semua keperluan undang-undang dan peraturan dipatuhi.

Presiden Kehormat UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, laporan polis merupakan maklumat yang perlu dinilai pihak berkuasa dan bukannya bukti bahawa sesuatu kesalahan telah berlaku.

Menurut Ahli Parlimen Tuaran merangkap ADUN Tamparuli itu, siasatan juga merupakan proses mendapatkan fakta dan tidak boleh dianggap sebagai penentuan bersalah terhadap mana-mana pihak.

“Laporan polis bukan siasatan, siasatan bukan bukti bersalah dan penilaian keselamatan bukan bukti sesuatu itu menyalahi undang-undang.

“Tindakan penguatkuasaan atau pendakwaan mesti berdasarkan undang-undang, fakta serta bukti berkaitan, bukan semata-mata kerana wujud laporan, tekanan awam atau kontroversi,” katanya dalam kenyataan.

Madius berkata, Pesuruhjaya Polis Sabah pada 28 September lalu dilaporkan memaklumkan dua laporan diterima berhubung konsert berkenaan, namun ketika itu tiada kertas siasatan dibuka.

Beliau turut merujuk kes berasingan membabitkan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said mengenai seorang paderi dan biarawati yang menyaksikan polis menerima 86 laporan serta membuka siasatan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah laporan polis tidak boleh digunakan secara bersendirian untuk menentukan sama ada berlaku layanan berbeza kerana setiap kes mungkin membabitkan fakta, undang-undang, bukti dan pertimbangan keselamatan berlainan.

Menurutnya, Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan di sisi undang-undang dan setiap laporan perlu dinilai berdasarkan fakta tanpa mengira fahaman politik, agama atau komuniti.

Madius berkata, memandangkan acara dicadangkan merupakan perhimpunan gospel Kristian, sebarang sekatan juga boleh melibatkan kebebasan menganut dan mengamalkan agama sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, katanya, kebebasan berkenaan tidak mengecualikan penganjur daripada mematuhi semua keperluan berkaitan pelesenan, imigresen, lokasi, keselamatan dan pengurusan orang ramai.

Beliau menegaskan sebarang keputusan untuk mengenakan syarat, menangguhkan atau melarang acara perlu mempunyai asas undang-undang serta berdasarkan risiko keselamatan atau ketenteraman awam yang khusus dan boleh dikenal pasti.

Sehubungan itu, Madius menggesa polis dan pihak berkuasa berkaitan menjelaskan status semasa serta asas umum tindakan dalam kedua-dua perkara setakat yang dibenarkan undang-undang tanpa menjejaskan siasatan atau keselamatan operasi.

“Rakyat Sabah berhak mendapat satu standard penguatkuasaan undang-undang berasaskan bukti yang dilaksanakan secara tidak berat sebelah, tanpa memihak kepada politik atau prejudis agama,” katanya.

Berita Berkaitan