Dua pemandu lori ditahan, aksi potong berbahaya hampir langgar motosikal
TAWAU: Dua pemandu lori ditahan polis selepas rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan aksi pemanduan berbahaya di Jalan Apas, laluan Semporna-Tawau tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rakaman berkenaan pada 17 September lalu kira-kira jam 9.58 malam.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 29 Ogos kira-kira jam 3.52 petang ketika sebuah lori dalam perjalanan dari Semporna menuju Tawau.
“Siasatan awal mendapati sebuah lagi lori dipercayai memotong beberapa kenderaan lain secara berbahaya sehingga hampir melanggar sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan media.
Rosdi berkata, rakaman kejadian itu tular di Facebook sebelum laporan polis dibuat.
Katanya, susulan laporan berkenaan, kedua-dua pemandu lori ditahan kira-kira jam 11.10 malam pada hari sama bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan saringan air kencing terhadap kedua-dua pemandu turut dijalankan dan kedua-duanya didapati negatif dadah,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.
Dalam pada itu, polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook yang memuat naik rakaman berkenaan bagi membantu siasatan.
Rosdi menegaskan, polis memandang serius tindakan pemanduan melulu dan berbahaya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan pengguna jalan raya lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tawau, Sarjan Razlan Razan di talian 019-823 4484.

