Empat maut Proton Saga bertembung lori di Telupid
TELUPID: Empat individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga BLM dan lori Isuzu di hadapan Kedai Makan Rosalinda, Kampung Gambaron, di sini, pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.28 pagi sebelum tujuh anggota dari BBP Beluran bergegas ke lokasi.
Komander Operasi, PBK I Rahmat Rudat berkata, sebaik tiba, pasukan mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan dipercayai bertembung dari arah bertentangan.
Menurutnya, empat mangsa yang berada di dalam Proton Saga berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan bantuan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Kesemua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Maklumat identiti mangsa masih belum diperoleh.
Pemandu lori pula mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid.
Mayat kesemua mangsa diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan pada pukul 9.58 pagi.

