10 ditahan bantu siasat bunuh warga emas di Sandakan

SANDAKAN: Sepuluh individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita warga emas berusia 62 tahun di sebuah rumah kayu dua tingkat di Jalan Leila, di sini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata, semua individu berusia antara 10 hingga 39 tahun itu ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas mayat mangsa ditemukan pada 19 Ogos lalu.

Beliau berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai bau kurang menyenangkan dari rumah berkenaan pada jam 8.10 malam.

Pemeriksaan menemukan mangsa dalam keadaan mereput di dalam tandas dengan tangan diikat menggunakan tali di belakang badan serta kepala ditutup kain.

“Pemeriksaan berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemukan di tempat kejadian mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

George berkata, soal siasat mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham mengenai upah mengubah suai rumah mangsa serta rasa tidak puas hati kerana mangsa menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang didiami suspek.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita, membabitkan tiga warga Filipina serta tujuh warga tempatan.

Katanya, dua daripada mereka dikenal pasti sebagai suspek utama.

Polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan sebagai senjata serta beberapa barangan peribadi mangsa yang dipercayai dilarikan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Berkaitan