28 rumah atas air musnah, 162 berjaya diselamatkan

SANDAKAN: Sebanyak 28 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Nunuyan Laut, Pulau Nunuyan Laut, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.50 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan digerakkan ke lokasi dengan bantuan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Api berjaya dikawal pada jam 5.45 pagi, manakala tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 162 rumah berhampiran daripada turut terbakar.

Tiupan angin kuat menyebabkan api merebak dengan pantas selain menyukarkan operasi anggota di kawasan pulau berkenaan.

Operasi pemadaman menggunakan sumber air laut dan kerja pemantauan diteruskan bagi memastikan tiada risiko kebakaran berulang.

Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Berita Berkaitan