3 maut, 3 cedera Viva terbabas di Kunak

KUNAK: Tiga individu maut dan tiga lagi cedera selepas sebuah Perodua Viva terbabas sendiri di Kampung Sungai Atas, Jalan Sungai Atas, semalam.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, panggilan kecemasan diterima pada 6.05 petang sebelum empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kunak dihantar ke lokasi.

Komander Operasi, Abdul Jatin Mohd Jahiri berkata pasukan tiba lima minit kemudian dan mendapati semua enam mangsa sudah berada di luar kenderaan.

Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan, manakala tiga lagi mengalami kecederaan.

Katanya, tiada operasi menyelamat dilakukan bomba kerana semua mangsa sudah dikeluarkan dari kenderaan.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kunak untuk rawatan.

Operasi tamat pada 7.31 malam selepas lokasi disahkan selamat.

Berita Berkaitan