30 lagu satukan suara nasyid Sabah

KOTA KINABALU: Industri nasyid Sabah melakar satu lagi sejarah apabila Album Kompilasi 30 Lagu Seruan Nasyid Dari Kinabalu dilancarkan sebagai usaha memperkasa karya tempatan dan membuka ruang lebih luas kepada bakat baharu.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata album berkenaan membuktikan penggiat seni nasyid Sabah semakin aktif menghasilkan karya berkualiti serta mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, sokongan berterusan daripada kerajaan, Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (KOPAN) dan pemain industri amat penting bagi memastikan industri nasyid negeri ini terus berkembang.

“Sabah mempunyai ramai komposer, penulis lirik, pemuzik dan penyanyi yang berbakat. Mereka perlu diberikan peluang serta platform untuk mengetengahkan hasil karya mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Album Kompilasi 30 Lagu Seruan Nasyid Dari Kinabalu dan Mini Showcase Artis Nasyid Sabah di sini.

Sementara itu, Pengerusi KOPAN, Mohd Nazri Saidali, berkata album itu bukan sekadar menghimpunkan 30 lagu, malah menjadi simbol kesungguhan penggiat seni nasyid Sabah dalam mengangkat mesej dakwah melalui muzik.

Menurutnya, KOPAN mahu memastikan bakat yang lahir daripada pertandingan nasyid terus berkembang melalui penerbitan lagu, album dan platform digital supaya industri nasyid tempatan lebih mampan.

Beliau berharap album kompilasi itu menjadi pencetus kepada kebangkitan baharu industri nasyid Sabah serta membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Sabah untuk menyerlah di persada muzik negara.

Berita Berkaitan