4,604 PATI dipindahkan pulang ke negara asal

KOTA KINABALU: Seramai 4,604 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dipindahkan dari Sabah ke negara asal masing-masing setakat Rabu.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah berkata, jumlah berkenaan merangkumi 3,006 warga Filipina, 1,334 warga Indonesia, 118 warga Pakistan dan 109 warga China, selain warganegara asing lain.

Menurutnya, dalam program terbaharu, 17 lelaki warga China dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan penerbangan terus ke Chongqing.

“Kesemua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan mempunyai dokumen perjalanan sah untuk melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Depot Imigresen Tawau pada Selasa melaksanakan pemindahan lima lelaki warga Pakistan melalui Lapangan Terbang Tawau sebelum transit di Kuala Lumpur untuk meneruskan perjalanan ke Lahore.

Dua lelaki warga Filipina turut dihantar pulang melalui Kuala Lumpur dengan penerbangan terus ke Manila.

Dalam pada itu, JIM Sabah mengingatkan masyarakat supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat mengenai kegiatan PATI kepada saluran rasmi jabatan bagi membantu usaha penguatkuasaan imigresen di negeri ini.

Berita Berkaitan