5,578 akaun terjejas selepas banjir ganggu operasi loji air di Tawau
TAWAU: Kira-kira 5,578 akaun pengguna di Tawau mengalami gangguan bekalan air selepas banjir menjejaskan operasi beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di daerah itu.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, banjir menyebabkan operasi LRA Apas Balung 1 dan 2 dihentikan sementara selepas kawasan loji ditenggelami air sehingga merosakkan komponen mekanikal dan elektrikal.
Beliau berkata, LRA Utara dan LRA Cinta Mata sudah kembali beroperasi, manakala pengeluaran air terawat sedang dipertingkatkan secara berperingkat.
Menurutnya, lori tangki turut digerakkan ke kawasan terjejas bagi mengurangkan impak gangguan bekalan air.
Katanya, Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III yang dijangka siap pada Oktober tahun depan akan memperkukuh sistem bekalan air dan kawalan banjir di daerah berkenaan.

