64 warga asing dicekup di tiga daerah

KOTA KINABALU: : Seramai 64 warga asing ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Di Kota Kinabalu, Ops Selera menyaksikan 38 individu diperiksa sebelum tujuh warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas.

Mereka terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita warga Filipina serta seorang lelaki warga Pakistan.

Di Sandakan pula, 145 individu diperiksa menerusi Ops Bersama dan Ops Kutip dengan 28 warga asing ditahan.

Tangkapan membabitkan 21 warga Filipina, empat warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak lelaki serta tiga lelaki warga India.

Sementara itu, Ops Kutip dan Ops Belanja di Tawau menyaksikan 66 individu diperiksa dengan 29 warga asing ditahan.

Mereka terdiri daripada lima warga Filipina dan 24 warga Indonesia termasuk lapan kanak-kanak.

Secara keseluruhan, 249 individu diperiksa dan 64 warga asing ditahan dalam operasi di ketiga-tiga daerah berkenaan.

JIM Sabah berkata operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen.

Berita Berkaitan