‘Kami bayar bil, orang lain didakwa guna elektrik haram’

KOTA KINABALU: Seorang penduduk mempersoalkan dakwaan kewujudan sambungan elektrik secara haram di sebuah penempatan di Jalan Kampung Lokub berhampiran UiTM, sambil menggesa pihak Sabah Electricity (SE) menyiasat perkara itu.

Mohd Hasrul Jamsani berkata, pengguna berdaftar dikenakan tindakan tegas sekiranya gagal menjelaskan bil elektrik, namun beliau mendakwa masih terdapat sambungan yang dipercayai tidak sah digunakan.

“Kami bayar bil. Kalau tertunggak, bekalan terus dipotong.

“Kalau benar ada sambungan haram, saya harap tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan secara adil terhadap semua pihak tanpa mengira lokasi atau status penempatan.

Menurutnya, jika dakwaan itu benar, keadaan tersebut boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna yang sentiasa mematuhi peraturan serta membayar bil mengikut jadual.

Beliau berharap siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti sama ada benar wujud penyambungan elektrik secara haram dan mengambil tindakan mengikut undang-undang.

Sabah Electricity setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Berita Berkaitan