PROTUNe lahir lebih ramai usahawan muda Sabah

KOTA KINABALU: Program Tunas Niaga (PROTUNe) terus menjadi platform utama melahirkan generasi usahawan muda Sabah yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Datuk Redonah Bahanda, berkata program yang dilaksanakan sejak 1997 itu memberi pendedahan sebenar kepada pelajar mengenai pengurusan syarikat, pembangunan produk, pemasaran, pengurusan kewangan dan pembentangan prestasi perniagaan.

Beliau berkata, PROTUNe bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform membentuk pelajar menjadi pencipta peluang pekerjaan serta bakal pemimpin ekonomi pada masa depan.

“Melahirkan usahawan muda memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan, sektor korporat dan industri bagi memastikan lebih ramai anak muda mampu membina perniagaan yang mampan,” katanya ketika Majlis Penganugerahan Konvensyen PROTUNe Peringkat Negeri Sabah 2025 di Suria Sabah, hari ini.

Seramai 15 syarikat pelajar dari seluruh Sabah menyertai konvensyen peringkat akhir selepas melalui proses penilaian oleh panel profesional.

Redonah berkata, Sabah kekal antara negeri yang meneruskan pelaksanaan PROTUNe walaupun program itu tidak lagi menerima peruntukan Persekutuan, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan keusahawanan.

Beliau berharap lebih banyak syarikat korporat tampil menaja, membimbing dan berkongsi kepakaran bagi memperkasa ekosistem keusahawanan serta melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mampu memacu ekonomi Sabah.

Berita Berkaitan