Gua Monsud, khazanah tersembunyi Pulau Banggi
KUDAT: Seramai 16 individu menyahut cabaran meneroka Gua Monsud di Pulau Banggi menerusi Program Jelajah Merdeka yang berlangsung selama dua hari satu malam, baru-baru ini, sekali gus mengetengahkan potensi gua berkenaan sebagai tarikan eko-pelancongan baharu di daerah ini.
Wakil penganjur, Azry Hussin berkata, program pada 8 hingga 9 Ogos itu disertai golongan belia, komuniti setempat dan penjawat awam yang perlu menempuh perjalanan antara enam hingga lapan jam dengan berjalan kaki merentasi kawasan berbukit, hutan belantara dan sungai sebelum tiba di Gua Monsud.
Menurutnya, lokasi itu dipilih sempena Bulan Kemerdekaan bagi mencabar ketahanan peserta, selain memberi peluang kepada mereka mengenali khazanah alam semula jadi Pulau Banggi yang masih terpelihara. Katanya, perjalanan mencabar itu turut menjadi pengalaman berharga khususnya kepada golongan muda.
“Gua Monsud mempunyai keunikan tersendiri termasuk formasi batuan gua, flora dan fauna serta dihuni ribuan kelawar. Kawasan ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi eko-pelancongan, perkhemahan dan aktiviti jelajah lasak,” katanya.
Azry berkata, aspek keselamatan serta adat masyarakat setempat turut diberikan perhatian sepanjang penerokaan dengan peserta menerima taklimat daripada pemandu sebelum memasuki gua, termasuk menghormati beberapa pantang larang dan kepercayaan komuniti tempatan berkaitan kawasan berkenaan.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diperluaskan pada masa akan datang bagi memperkenalkan Gua Monsud dan Pulau Banggi kepada masyarakat luar.
Katanya, sokongan ADUN Banggi, Datuk Mohammad Mohammarin turut membantu menjayakan program itu yang bukan sahaja mengetengahkan khazanah alam, malah mengeratkan silaturahim dan semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

