Simposium perkukuh kedudukan perundangan Syariah
KOTA KINABALU: Simposium Kehakiman dan Perundangan yang menghimpunkan lebih 600 peserta bakal menjadi platform mencari pendekatan terbaik dalam memperkukuh kedudukan perundangan Syariah di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata, simposium itu menghimpunkan hakim, pendakwa, peguam, ahli akademik dan pihak berkepentingan bagi berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan pelaksanaan undang-undang Syariah.
Menurutnya, penganjuran simposium berkenaan merupakan cetusan idea Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, bagi membuka ruang kepada pelbagai pihak berbincang dan meneroka kaedah mempertingkatkan kedudukan perundangan Syariah.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu yang turut bertujuan menjemput beliau menyampaikan perutusan dan merasmikan simposium berkenaan pada 12 Ogos.
Mohd Amran berkata, Sabah turut menunjukkan komitmen menerusi kelulusan Enakmen Pengangkatan Anak Orang Islam yang berkuat kuasa pada Disember 2024 serta Enakmen Pewarisan Orang Islam yang diluluskan tahun ini.

